Thursday 16 February 2012

Perantauan...

Bila istilah perantauan dibicarakan, yang tergambar dalam kepala cuma ; si anak kampung keluar ke bandar tinggal ayah di bendang dan si ibu di rumah menggoreng cucur udang.


Nampak mudah? Harfiahnya si anak kampung tadi meninggalkan semua jiwanya dalam kampung tersebut. Baik bermain layang-layang kertas, bermain lumpur, tangkap ikan keli guna tangan, main meriam pada bulan puasa, mengurat si gadis pulang berbasikal bakul depan, kenduri kahwin rewang ramai-ramai. Ya. Semua jiwa anak kampung harus ditinggalkan di kampung itu. Dia wajib masuk ke dimensi lain dengan membawa fahaman baru. Fahaman perantauan.


Itu juga bukan semudah membeli mee goreng. Setiap tapak yang dipilih punya kronologi sendiri.


Si anak kampung perlu melepas tahap memilih kawan sebaik-baik teman. Seperti pepatah yang pernah dicanangkan ; 'Sekiranya berkawan dengan pengimpal besi, baju kita akan berlubang terkena percikan bara. Berkawan dengan penjual minyak wangi, baju kita turut berbau harum.


Inilah terjadi sekiranya langkah itu tersilap. Mungkin si anak kampung tadi akan tersadung kaki sendiri. Mungkin akan terlanggar bonggol batuan jalan. Atau mungkin terpijak lubang lalu terjelepok ke dalam. Atau juga mungkin terpijak tahi anjing. Ish! Mughallazah!


Pengakhiran sebagai perantauan itu yang menjadi kayu pengukur tahap pandangan si perantauan ini. Bila berjaya, dia mula bermegah akan kebaikan yang dilalui dan padanya kampung cuma tempat menoreh getah, bersawah, atau tempat gadis berbaju kurung biasa.


Kalau gagal? Baginya kampunglah segalanya.


Ya. Perantauan sebenarnya banyak merubah identiti diri. Kuat atau tidak si anak kampung tadi berpegang pada fahaman dia si anak kampung, itulah punca sama ada jadi si kacang lupakan kulit atau si kacang dah bersedia untuk dikunyah mulut rakus.


Aku cuma balas apa aku faham.
---Sir Sipot---

No comments:

Post a Comment